Pembaca Setia

11 February 2009

ASA ( Association of Southeast Asia )

PENGENALAN


Semua negara di dunia perlu saling bergantungan antara satu sama lain demi kepentingan aspek politik, ekonomi dan sosial masing-masing. Pelaksanaan dasar luar negara bertujuan untuk mempertahankan kemerdekaan negara, menjamin keselamatan dan kedaulatan negara, memelihara hubungan baik dengan negara-negara lain, dan mengukuhkan kedudukan ekonomi negara. Dasar luar negara dikendalikan oleh Kementerian Luar Negeri yang juga dikenali sebagai Wisma Putra.


Teras dasar luar Malaysia adalah untuk memperkukuhkan pertalian persahabatan dengan negara-negara jiran menerusi satu pakatan serantau iaitu pertubuhan Negara-negara Asia Tenggara atau ASEAN. Malaysia telah menganggotai ASEAN pada tahun 1967. Sebelum ASEAN ditubuhkan, Malaysia telah menganggotai pertubuhan serantau yang dikenali sebagai ASA ( Association of Southeast Asia ). Selain Malaysia, ASA dianggotai oleh negara Filipina dan Thailand. ASEAN bukan satu pakatan tentera tetapi ia satu persetujuan antara negara-negara Asia Tenggara yang terdiri dari Thailand, Malaysia, Singapura, Indonesia dan Filipina bagi menjalin hubungan kerjasama dalam bidang ekonomi, social dan politik. Selain ASEAN, Malaysia telah menyertai beberapa pertubuhan yang terdahulu iaitu ASA dan MAPHILINDO.


PERTUBUHAN ASIA TENGGARA ( ASA )


SEJARAH AWAL PENUBUHAN ASA


“Association of Southeast Asia – ASA” ( Pertubuhan Asia Tenggara ) adalah sebuah pertubuhan atau pakatan kerjasama ekonomi dan kebudayaan bagi negara-negara Asia Tenggara. Sebelum ASA ditubuhkan, Malaysia telah menganggotai SEAFET –Southeast Asian Friendship and Economic Treaty. Setelah mendapati SEAFET tidak bertahan lama, Malaysia, Filipina dan Thailand mengusahakan penubuhan ASAS (Association of Southeast Asian States ). Nama ASAS kemudiannya ditukarkan kepada ASA pada 31 Julai 1961.


PERTUBUHAN ASIA TENGGARA ( ASA )


CADANGAN PEMBENTUKAN PERTUBUHAN ASA


Pembentukan sebuah pertubuhan serantau ini telah dicadangkan oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang menjadi Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu selepas negara ini mencapai kemerdekaan. Tunku Abdul Rahman telah mengemukakan cadangan ini kepada Carlos P. Garcia, Presiden Filipina ketika beliau melawat Filipina pada tahun 1956. Cadangan untuk membentuk pertubuhan serantau ini disambut baik oleh Filipina dan juga Thailand. Stau rundingan telah diadakan di antara Tunku Abdul Rahman dengan Felixberto Serrano, Menteri Luar Filipina dan Thanat Khoman, Menteri Luar Thailand. Rundingan ini telah diadakan di Bangkok, Thailand.


PERTUBUHAN ASIA TENGGARA ( ASA )


PENUBUHAN ASA SECARA RASMI SERTA MATLAMAT UTAMA PENUBUHANNYA


Pada Julai 1961, ASA telah ditubuhkan dengan rasminya dan dianggotai oleh Negara Persekutuan Tanah Melayu ( Malaya ), Filipina dan Thailand. Matlamat penubuhan ASA adalah untuk mengekalkan keamanan dan kebebasan negara-negara di kawasan rantau Asia Tenggara, memupuk keadilan sosial, dan meningkatkan kerjasama dan kemajuan dalam bidang ekonomi negara-negara ahli dan juga di negara-negara lain di kawasan rantau Asia Tenggara. Bagi mengeratkan hubungan kerjasama ini, negara-negara anggota ASA telah mengadakan program pertukaran kebudayaan dan pendidikan. Selain dari program kebudayaan, ASA juga telah memeterai perjanjian penerbangan di antara negara-negara anggota dan pelancaran Kereta Api Ekspres ASA antara Bangkok dan Kuala Lumpur.


PERTUBUHAN ASIA TENGGARA ( ASA )


ASA MENGALAMI KEGAGALAN


Seperti SEAFET, ASA juga tidak bertahan lama kerana perselisihan faham berlaku antara negara anggota. Filipina menarik diri daripada ASA sebagai membantah keputusan Tanah Melayu untuk memasukkan Sabah menjadi sebahagian daripada wilayahnya yang terletak di bawah Kesultanan Sulu. Oleh sebab Sulu merupakan sebahagian daripada Filipina, maka Sabah perlu dikembalikan kepada negara itu. Dalam satu rundingan yang dibuat sebelum penubuhan Malaysia, iaitu antara Filipina dengan Britain, kerajaan British telah menolak tuntutan Filipina itu. Selepas penubuhan Malaysia, Filipina membuat tuntutan ke atas Sabah daripada kerajaan Malaysia.


Sementara itu, Indonesia enggan menyertai ASA kerana mereka menganggap penubuhan Malaysia sebagai satu bentuk penjajahan baru di Asia Tenggara. Indonesia mengecam dan menentang keras langkah kerajaan Tanah Melayu untuk menubuhkan Malaysia. Malah, Indonesia turut menetang secara kekerasan melalui dasar konfrontasi.

No comments:

Post a Comment

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...