Pembaca Setia

21 March 2010

Pengkelasan Sistem Kerajaan – Kekuatan Dan Kelemahan

Pengenalan

Kerajaan merujuk kepada institusi yang mengurus dan mentadbir hal ehwal negaranya. Sistem kerajaan pula merujuk kepada institusi-institusi pemerintahan sesebuah kerajaan yang bertanggungjawab menggubal dan melaksanakan dasar-dasar kerajaan.

Sistem kerajaan boleh dikelaskan kepada beberapa jenis dan masing- masing mempunyai kekuatan dan kelemahan yang tersendiri. Antara sistem kerajaan adalah Republik, Monarki, Demokratik, Totalitarian dan Autokrasi.

Sistem Kerajaan Republik

Dalam sesebuah negara Republik, kuasa pemerintahan terletak pada seseorang individu atau sesebuah parti politik. Ketua negaranya ialah seorang presiden atau pengerusi parti. Kelebihan sistem kerajaan ini ialah, presidennya dipilih secara langsung oleh rakyat. Pengundi di negara ini bukan memilih parti yang memerintah tetapi memilih bakal presiden mereka. Di negara China pula, pucuk pimpinan terletak di tangan pengerusi parti politik yang memerintah. Walaubagaimanapun, sistem kerajaan Republik tidak mempunyai raja. Contoh kerajaan yang mengamalkan sistem kerajaan Republik ialah Amerika Syarikat, Filipina, Perancis, India, Singapura dan Portugal.

Sistem Kerajaan Monarki

Di bawah sistem kerajaan Monarki, kuasa sepenuhnya terletak pada seseorang iaitu raja atau ratu. Pada zaman dahulu, raja mempunyai kuasa mutlak dalam pemerintahan negaranya iaitu dikenali sebagai sistem kerajaan Monarki. Kekurangan sistem kerajaan Monarki ialah, rakyat tidak boleh memilih pemerintah yang mereka kehendaki. Hal ini demikian kerana di bawah sistem pemerintahan ini, tiada parti politik atau pilihan raya umum diadakan. Pentadbiran hanya dijalankan oleh raja dan keluarga atau kerabatnya. Tetapi, kini negara-negara yang mengamalkan sistem kerajaan Monarki telah berubah dan kuasa raja dihadkan oleh perlembangaan dan parlimen. Warisan takhta kerajaan ini berdasarkan keturunan dan ahli-ahli kerabat yang membantu dalam pentadbiran. Contoh negara Monarki yang masih ada ialah Arab Saudi dan Brunei Darussalam.

Sistem Kerajaan Demokratik

Berbeza dengan kerajaan Monarki, dalam kerajaan Demokratik rakyat mempunyai suara mutlak dalam menentukan pemerintahan melalui pilihan raya umum. Kelebihan sistem kerajaan ini dapat dilihat melalui konsepnya yang menekankan “kerajaan rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat”.

Antara ciri-ciri kerajaan Demokratik ialah rakyat menikmati kebebasan persamaan dan hak-hak asasi, sistem pilihan raya dijalankan dari semasa ke semasa, badan perundangan terdiri daripada wakil-wakil yang dipilih oleh rakyat, warganegara yang berumur 21 tahun ke atas berhak mengundi dan bertanding dalam pilihan raya, kemenangan pilihan raya berdasarkan jumlah undi terbanyak dan parti politik atau individu yang memperoleh undi majoriti akan memerintah negara tersebut.

Selain ciri kerajaan Demokrasi, Demokrasi liberal merujuk kepada rakyat yang mempunyai lebih banyak kuasa menyuarakan pendapat dan tentangan mereka terhadap dasar-dasar dan tindakan-tindakan kerajaan. Dalam sistem ini, akan wujud golongan pembangkang yang akan sentiasa mengkritik pihak kerajaan. Kebaikannya, kerajaan akan lebih peka dan teliti dalam melaksanakan apa-apa dasar manakala keburukan akan wujud sekiranya pihak pembangkang dan pihak kerajaan bertelagah sehingga gagal mencapai satu haluan yang dipersetujui.

Terdapat negara-negara yang mengamalkan Demokrasi yang berbeza iaitu Demokrasi Berparlimen dan Demokrasi Perpresiden. Dalam sistem Demokrasi berparlimen, parti politik yang mendapat kerusi majority di Dewan Rakyat akan mengetuai pentadbiran negara. Bagi sistem Demokrasi berpresiden pula, rakyat memlih presiden yang akan menjadi ketua eksekutif negara. Contoh negara yang mengamalkan sistem kerajaan Demokratik ialah Malaysia, Singapura, Kanada, Amerika Syarikat, Britain dan Indonesia.

Sistem Kerajaan Totalitarian

Sistem pemerintahan Totalitarian hanya membenarkan kewujudan satu parti sahaja. Kelemahan sistem ini ialah, rakyatnya dipaksa untuk mentaati pemerintah. Selain daripada itu, sistem komunikasi dan ketenteraan dikuasai oleh pemerintah. Hal yang demikian telah menyekat hak kebebasan rakyat dalam menjalani kehidupan seharian. Contoh kerajaan Totalitarian yang pernah wujud ialah Jerman semasa zaman pemerintahan Adolf Hitler dan pemerintahan Musollini di Itali serta Stalin di Rusia.

Sistem Kerajaan Autokrasi

Kerajaan ini merujuk kepada pemerintahan oleh individu atau badan politik yang mempunyai kuasa sepenuhnya dalam pemerintahan. Bentuk kerajaan ini mempunyai persaingan politik yang terhad kerana kuasa dikawal oleh golongan elit tertentu terutama tentera. Penduduk dikawal dan dipaksa untuk mematuhi dan mentaati kerajaan. Kebebasan awam dan kehakiman terhad. Contoh sistem pemerintahan autokrasi wujud pada masa darurat dan dalam pemerintahan komunis.

Jenis-Jenis Kuasa Dan Autoriti Yang Ada Pada Pemerintah


Kuasa

Kuasa ialah kebolehan untuk menjayakan sesuatu rancangan mengikut naluri seseorang untuk memaksa orang lain melakukan sesuatu walaupun mereka enggan berbuat demikian. Kuasa juga boleh ditafsirkan sebagai kebolehan menyatakan sesuatu dan memaksa untuk berbuat sesuatu kerana takutkan kuasa.

Kuasa wujud setelah masyarakat merasakan mereka harus memberi sepenuhnya kepercayaan dan hak kepada orang yang bakal memimpin. Terdapat tiga pembahagian kuasa dalam kepemimpinan iaitu kuasa politik, kuasa ekonomi dan kuasa ketenteraan.

Kuasa politik merupakan satu bahagian kuasa yang tidak boleh digugat. Apabila seseorang pemimpin diberi mandat untuk memimpin, maka golongan yang dipimpin tidak boleh mempertikaikan kuasa yang ada pada pemimpin tersebut. Kuasa politik merupakan nadi utama yang menggerakkan sesebuah organisasi pentadbiran atau pemerintahan. Ini kerana melalui kuasa politik yang ada, pemerintah atau mereka yang diberi kuasa serta tanggungjawab untuk membuat dan melaksanakan dasar-dasar kerajaan atau organisasi. Kebesaran atau tahap kuasa politik bergantung kepada kedudukan seseorang mengikut kedudukan dan pangkat yang dimilikinya. Semakin tinggi kedudukan dan pangkat seseorang di dalam sesebuah kerajaan atau organisasi, semakin besar lingkungan kuasa yang dimilikinya. Sebagai contoh, seorang Perdana Menteri mempunyai cakupan kuasa yang lebih besar berbanding Menteri biasa.

Bahagian yang seterusnya ialah kuasa ekonomi. Kebiasaannya, orang yang memiliki sumber kekayaan dan harta yang banyak akan dihormati dan berkuasa dalam kalangan masyarakatnya. Mereka yang kaya dan mempunyai kuasa ekonomi ini mempunyai kedudukan dan keupayaan untuk memberi arahan serta suruhan kepada masyarakat bawahan. Masyarakat akan patuh dan taat pada mereka yang memiliki kuasa ekonomi ini dengan harapan akan mendapat ganjaran dan habuan.

Kuasa Ketenteraan juga ada pada pemerintah. Berdasarkan kepada asas ini, pemerintah yang mempunyai kekuatan angkatan tentera yang hebat akan mempengaruhi kuasanya. Semakin kuat angkatan tenteranya, semakin besar pengaruh kekuasaan pemerintahnya. Kebanyakn pemerintah menggunakan kekuasaan ketentaraannya untuk melakukan penaklukan kawasan-kawasan yang diingini. Adolf Hitler iaitu pemimpin Jerman suatu ketika dahulu terkenal sebagai seorang pemimpin yang memiliki angkatan tentera yang sangat hebat, kuat dan digeruni.

Kesimpulannya, kuasa amat diperlukan oleh setiap pemimpin dalam sesebuah organisasi pemerintahan. Walau apapun jenis bahagian kuasa yang dimiliki oleh seseorang pemerintah, ia mempunyai kepentingan yang sangat bermakna. Peranan kuasa amat penting bagi seseorang pemimpin untuk mendapatkan sokongan dari orang yang diperintah bagi melaksana dan menjalankan sesuatu dasar.


Autoriti


Menurut Alan Renswick dan Ian Swinburn dalam bukunya, Basic Political Concept autoriti didefinisikan sebagai:

“Mereka berpendapat bahawa autoriti merupakan satu kebolehan seseorang untuk menyuruh kita melakukan sesuatu. Mereka berfikir sebagai individu atau kumpulan, harus mempunyai hak menyuruh orang lain melakukan sesuatu”.

R.Michels dalam Encylopedia of Social Sciences pula mendefinisikan autoriti sebagai satu kapasiti, semula jadi atau diperoleh bagi penggunaan untuk menentukan siapa yang berkuasa.
Herbert R.Winter dan Thomas I. dalam People and Politics: an Introduction to Political Science berpendapat bahawa:

“Autoriti merupakan kuasa yang diberikan oleh warganegara yang dianggap sah. Ini tidak beerti seseorang bersetuju dengan setiap perkara yang dicadangkan oleh seseorang yang mempunyai autoriti. Ia merupakan perhubungan antara autoriti dan paksaan.

Kewujudan autoriti muncul apabila seseorang mempunyai kuasa luar biasa yang mampu mempengaruhi orang lain tanpa dipaksa atau apabila seseorang mempunyai kuasa semulajadi yang istimewa. Ahli Sosiologi Jerman, Max Weber mencadangkan tiga klasifikasi sumber autoriti politik yang ada pada pemerintah dalam sesebuah negara moden. Tiga klasifikasi tersebut adalah autoriti tradisional, autoriti karismatik dan autoriti legal-birokratik atau legal-rasional.

Berdasarkan kepada autoriti tradisional, seseorang pemerintah memiliki hak untuk memerintah yang berpunca daripada penggunaan kuasa politik yang berterusan. Autoriti tradisi juga merujuk kepada kuasa yang diperolehi oleh seseorang pemimpin secara turun-temurun. Biasanya, jenis autoriti tradisi ini terdapat dalam masyarakat tradisional. Masyarakat ini tidak membangkang dan akan mematuhi pemimpin ini tanpa sebarang bantahan. Kewibawaan pemimpin ini tidak akan tercabar kerana ia diwarisi dari keturunan pemimpin terdahulu. Sebagai contoh, takhta seorang raja akan diwariskan kepada anak lelaki sulungnya.

Kedua ialah autoriti karismatik. Autoriti karismatik berpunca daripada ciri-ciri peribadi luar biasa yang ada pada seseorang pemimpin. Pemimpin yang mempunyai autoriti karismatik mempunyai personality yang menarik seperti ketabahan peribadi, kebolehan berpidato, sifat kepimpinan yang baik dan sebagainya. Selain itu, pemimpin yang berkarisma ini mempunyai bakat semulajadi yang istimewa sebagai seorang pemimpin yang dihormati. Autoriti karismatik juga wujud dalam diri seseorang pemimpin apabila mereka mampu menjalankan tanggungjawab mereka berdasarkan undang-undang yang telah ditetapkan. Pentadbiran pemimpin yang berkarisma tidak hanya kerana pangkat, tetapi kesedarannya untuk memimpin sesuatu kumpulan atau masyarakat. Selalunya sifat karisma ini wujud disebabkan kesedaran setelah mengalami penderitaan dan peperangan. Tun Dr Mahathir Mohamad merupakan salah seorang pemimpin yang disegani kerana autoriti karismatik yang dimilikinya. Beliau juga diberi gelaran ‘Bapa Pembangunan’ kerana sepanjang tempoh beliau berkhidmat sebagai Perdana Menteri Malaysia yang keempat, banyak pembaharuan dan pembangunan yang dicetuskan oleh pemikirannya. Sebagai contoh, beliau telah mewujudkan banyak prasarana canggih dan bertaraf antarabangsa seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Litar Lumba Antarabangsa Sepang, Stadium Bukit Jalil, Menara Berkembar Petronas, Menara Kuala Lumpur dan banyak lagi sehingga berjaya melonjakkan nama negara di pentas dunia.

Akhir sekali ialah autoriti legal-birokratik atau juga dikenali sebagai rasional undang-undang. Autoritinya hampir sama dengan tradisional tetapi ia terdapat dalam masyarakat moden dan lebih mematuhi undang-undang. Melalui autoriti ini, kuasa diberikan kepada seseorang berdasarkan kepada undang-undang formal. Autoriti jenis ini wujud daripada jawatan politik yang dipegang oleh seseorang individu dan bukan daripda individu yang memegang sesuatu jawatan. Sesetengah pemimpin politik mungkin memiliki autoriti politik tetapi tidak berupaya atau teragak-agak untuk menterjemahkannya menjadi kuasa politik. Sebagai contoh, autoriti Jeneral de Galle diiktiraf di kawasan yang diduduki oleh tentera Jerman di Perancis, tetapi kuasa paksaan kerajaan Jerman dan kerajaan Perancis yang pro-Jerman menghalang pertukaran autoriti menjadi kuasa politik.

Kesimpulannya, konsep kuasa dan autoriti merupakan konsep merupakan konsep yang abstrak iaitu tidak dapat dilihat tetapi boleh dirasai kewujudannya. Ia merupakan asas dalam bidang petadbiran kerana tanpa factor-faktor ini, sesebuah negara akan mengalani kepincangan dan kemunduran



17 March 2010

Kerajaan

Definisi Kerajaan

Menurut Wikipedia, Kerajaan (juga disebut "pemerintah") ialah badan dalam suatu pertubuhan yang mempunyai kuasa untuk membuat dan melaksanakan undang-undang dan peraturan dalam sesebuah kawasan tertentu.


Lazimnya, kerajaan merujuk kepada kerajaan awam sama ada pada peringkat tempatan, kebangsaan atau antarabangsa. Bagaimanapun, pertubuhan komersial, akademik, keagamaan dan lain-lain sepertinya juga mempunyai pemerintah dalaman. Saiz kerajaan berbeza mengikut kawasan dan tujuannya.


Kepentingan Kerajaan Sebagai Pemerintah


"Kerajaan bukan lagi terhad kepada "maintenance of law and order" dan memungut hasil. Tetapi peranan Kerajaan sudah diperluaskan sehingga terlibat dengan semua gerak-geri ekonomi, sosial dan politik dalam sebuah negara yang merdeka". (Tun Dr. Mahathir Bin Mohamad).


Secara umumnya kerajaan berfungsi sebagai pengatur kehidupan dalam sesebuah negara untuk mencapai tujuan berikut:


1. Ketertiban dan keamanan negara

2. Kebajikan rakyat

3. Mengeratkan perpaduan dan keharmonian

4. Pertahanan dan keamanan

5. Perhubungan antarabangsa


Ketertiban dan Keamanan Negara

Dalam usaha untuk mencapai keamanan masyarakat dan negara, anggota masyarakat memerlukan Kerajaan atau lebih tepat lagi pemerintahan. Tugas pemerintah ialah menjaga supaya anggota masyarakat mendapat perlindungan daripada yang bengis dan nakal dalam kalangan mereka. Undang-undang dan peraturan-peraturan adalah digubal, dan dikuatkuasakan oleh pemerintah demi menjayakan matlamat ini.

Sesebuah kerajaan perlu melaksanakan ketertiban (law and order) untuk mencapai tujuan dan matlamat bersama. Ketertiban atau juga boleh ditakrifkan sebagai disiplin perlu dititikberatkan oleh sesebuah kerajaan bagi mencegah berlakunya kepincangan dalam masyarakat. Dalam melaksanakan ketertiban ini, kerajaan akan bertindak sebagai stabilizer atau pihak yang akan menjadi orang tengah sekiranya berlaku perselisihan dalam kalangan masyarakat.


Penggubalan dan pelaksanaan undang-undang membantu kerajaan mewujudkan ketertiban dan keamanan dalam negara. Undang-undang dalam politik dan perundangan, merupakan satu sistem peraturan atau norma yang cuba diikuti oleh ahli-ahli masyarakat. Biasanya ini adalah peraturan sesebuah negara. Jika peraturan-peraturan ini dilanggar, orang yang melanggar peraturan tersebut mungkin dihukum atau didenda oleh mahkamah/polis. Peraturan ini biasanya dibuat oleh pemerintah negara tersebut supaya rakyatnya boleh hidup, bekerja dan bersosial antara satu sama lain.

Kerajaan Malaysia sebagai contoh, mempunyai badan tertentu yang berperanan dalam membentuk undang-undang (Badan Legislatif) dan menguatkuasakan undang-undang (Badan Eksekutif). Perlembagaan Malaysia atau Perlembagaan Persekutuan, ialah undang-undang tertinggi seluruh negara yang menyediakan rangka perundangan untuk undang-undang, perundangan, mahkamah, dan aspek-aspek lain pentadbiran undang-undang. Perlembagaan juga mentakkrifkan kerajaan, raja, dan kuasa-kuasanya, serta hak-hak rakyat.


Kebajikan Rakyat

Dalam konteks rakyat, Kerajaan bukan selalunya bermakna wakil yang dilantik oleh mereka, tetapi lebih kerap ialah pegawai dengan siapa mereka mengadakan perhubungan setiap masa. Di sinilah peranan Kerajaan sebagai pemelihara kebahagiaan dan kebajikan rakyat menjadi penting.

Kerajaan perlu mengusahakan kesejahteraan dan kemakmuran rakyatnya. Pada masa sekarang, fungsi itu dianggap sangat penting, terutama bagi negara-negara baru atau yang sedang berkembang.


Di dalam sesebuah negara, taraf ekonomi dan taraf hidup rakyatnya terdiri dari pelbagai latar belakang yang berbeza. Ada yang miskin dan ada yang kaya. Jurang sebegini rupa sememangnya wujud dalam mana-mana kerajaan. Jika kebajikan rakyat dinafikan haknya, maka akan berlaku kepincangan dan ketidakstabilan sosial dalam negara. Oleh sebab yang demikian, kerajaan sebagai badan pemerintah yang bertanggungjawab perlulah mengambil kira hal ehwal kebajikan setiap rakyatnya tanpa mengira kaum atau kepentingan yang tertentu tertentu. Pembangunan ekonomi dan sosial harus dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat.

Kerajaan Malaysia sebagai contoh, amat menitikberatkan aspek kebajikan rakyatnya. Sejak di awal kemerdekaan Malaysia, kerajaan telah berusaha untuk meningkatkan kualiti hidup rakyatnya melalui pelbagai dasar yang telah diperkenalkan. Dasar Ekonomi Baru diwujudkan sebagai salah satu strategi kerajaan untuk membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum. Selain itu, dasar ini juga berfungsi untuk menyusun semula masyarakat untuk mengurangkan dan seterusnya menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi ekonomi. Jelas, keseimbangan kemewahan secara adil adalah perlu bagi menyelesaikan masalah sosial masyarakat seperti kemiskinan, pengangguran, kebuluran dan sebagainya.


Mengeratkan Perpaduan dan Keharmonian

Pembangunan sosial juga amat penting dalam pembangunan dan perpaduan negara. Dalam sesebuah negara, pembangunan sosial dan pembangunan ekonomi saling melengkapi. Kerajaan sebagai pemerintah perlu berusaha mengatur langkah dan strategi untuk membina perpaduan dan keharmonian. Kerajaan perlu membina hubungan yang erat dengan rakyat. Hubungan dua hala di antara pemerintah dengan yang diperintah mampu menyumbang kepada keharmonian negara.

Kerajaan memainkan peranan yang amat penting dalam mewujudkan perpaduan dan keharmonian. Tanpa perpaduan dan keharmonian, kestabilan sosial negara akan tergugat dan boleh berpecah belah. Sekiranya perkara yang negatif ini berlaku, maka seluruh sistem kerajaan akan lumpuh dan terganggu. Kerajaan wujud hasil daripada kesepaduan dan kesepakatan anggota masyarakatnya. Apabila perpaduan menjadi lumpuh, kerajaan juga akan turut lumpuh.
Sekiranya kerajaan tidak mampu untuk mewujudkan perpaduan dan keharmonian antara rakyatnya yang terdiri dari pelbagai kaum dan ideologi, maka keamanan, ketenteraman dan keselamatan negara akan terancam. Rusuhan kaum yang berlaku di Malaysia pada 13 mei 1969 jelas membuktikan bahawa tanpa perpaduan, negara akan menjadi huru-hara. Menyedari hakikat itu, kerajaan Malaysia terus menggubal Rukun Negara dan ideologi ini telah diisytiharkan pada 31 Ogos 1970. Rukun Negara mempunyai beberapa matlamat yang penting. Antaranya ialah untuk mengukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama. Perpaduan rakyat sangat penting supaya rusuhan kaum seperti yang telah terjadi tidak berulang kembali. Rukun Negara juga bermatlamatkan memelihara cara hidup demokratik, serta mencipta sebuah masyarakat yang adil. Ia juga ingin menjamin sikap liberal terhadap tradisi kebudayaan yang pelbagai.

Untuk mewujudkan perpaduan dan keharmonian, kerajaan perlu bijak merancang dan membina matlamat untuk merealisasikan agenda ini. Kerajaan Malaysia sebagai contoh, sedang berusaha membudayakan Gagasan 1Malaysia yang dicetuskan oleh Perdana Menterinya yang Keenam, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak. Menurut beliau, matlamat gagasan 1Malaysia adalah untuk mengekalkan dan meningkatkan perpaduan di dalam kepelbagaian ini yang selama ini menjadi kekuatan negara dan akan kekal sebagai bekalan terbaik negara untuk masa hadapan. Kesungguhan kerajaan Malaysia melaksanakan gagasan ini membuktikan bahawa perpaduan amat penting untuk diwujudkan dan kerajaan bertanggungjawab untuk menjayakannya.


Pertahanan dan Keamanan

Sesebuah kerajaan bertanggungjawab untuk mengusahakan pertahanan untuk menjaga kemungkinan serangan dari luar. Negara harus dilengkapi dengan alat-alat pertahanan yang kuat dan canggih.

Sesebuah kerajaan juga perlu mempertahankan kelangsungan hidup warganegaranya dari setiap ancaman dan gangguan yang timbul dari dalam mahupun datang dari luar negara. Ancaman dan gangguan tersebut mungkin berupa serangan dari luar negeri mahupun golongan-golongan dari dalam negeri yang ingin memecah belah masyarakat dan perpaduan bangsa.

Bagi negara-negara yang berkongsi sempadan darat atau laut atau kedua-duanya dengan negara lain, kerajaan perlu sentiasa mengikuti perkembangan negara jirannya kerana ia juga memberi kesan kepada keselamatan dan pembangunannya. Sebarang gangguan kepada keselamatan dalam kawasan kejiranan, sama ada berbentuk konflik dalaman rantau atau luaran rantau, akan membawa kesan ke atas keselamatan negara.

Sebagai sebuah negara yang bebas dan berdaulat, Malaysia menyedari bahawa langkah yang paling wajar untuk memelihara kepentingan dan keselamatan negara adalah melalui usaha ke arah keupayaan berdikari yang merupakan teras dasar pertahanan negara. Kerajaan Malaysia telah membentuk Dasar Pertahanan Negara yang mencerminkan hasrat negara untuk mempertahankan kepentingan-kepentingan strategiknya dan memelihara keselamatan negara. Ia menekankan keperluan mengekalkan sekitaran kawasan kepentingan strategik negara yang stabil dan aman.

Hubungan dagangan negara yang kian berkembang, adanya pasaran baru untuk hasil-hasil keluarannya, pelaburan asing yang bertambah dan pengambilalihan negara terhadap syarikat-syarikat swasta yang memiliki kepentingan-kepentingan di seluruh dunia, telah menjadikan kepentingan-kepentingan negara menjangkau luar dari kawasan terdekat dan serantau. Berdasarkan keadaan sedemikian, maka adalah menjadi kepentingan negara untuk memastikan keamanan dunia terpelihara.

Konsep pertahanan menyeluruh berkait dengan usaha yang total dan bersepadu yang dilaksanakan oleh Kerajaan dalam mempertahankan negara. Pemeliharaan keutuhan dan kedaulatan sesebuah negara memerlukan komitmen seluruh rakyat, dan tidak hanya oleh pasukan keselamatan. Sungguhpun tugas mempertahankan negara merupakan tanggungjawab pasukan keselamatan, kewajipan untuk memastikan bahawa pasukan berkenaan mampu menghadapi cabaran adalah tanggungjawab nasional. Kemantapan sistem pertahanan dalam sesebuah kerajaan mampu mewujudkan keamanan negara.


Perhubungan Antarabangsa

Semua negara di dunia perlu saling bergantungan antara satu sama lain demi kepentingan aspek politik, ekonomi dan sosial masing-masing. Bagi sesetengah kerajaan, pelaksanaan perhubungan antarabangsa dianggap penting sebagai salah satu strategi untuk mempertahankan kemerdekaan negara, menjamin keselamatan dan kedaulatan negara, memelihara hubungan baik dengan negara-negara lain dan mengukuhkan kedudukan ekonomi negara.

Dasar Luar Malaysia yang dibentuk membuktikan bahawa Kerajaan Malaysia sentiasa memberi sokongan dan kerjasama terhadap usaha-usaha untuk mewujudkan perhubungan antarabangsa. Dasar Luar Malaysia adalah berbaik-baik dengan semua negara di dunia. Matlamat pelaksanaan dasar ini oleh Kerajaan Malaysia pula adalah untuk menjamin keselamatan rakyat dan negara, memelihara kepentingan nasional dan mengekalkan kedaulatan negara, menggalakkan pembangunan dan kemajuan ekonomi, mengekalkan keamanan sejagat melalui kerjasama antarabangsa, menjadi warga global yang bertanggungjawab dan peka terhadap usaha memupuk kesejahteraan dunia.

Malaysia melaksanakan dua bentuk hubungan luar dengan negara lain. Bentuk yang pertama ialah hubungan bilateral iaitu hubungan secara terus dengan negara-negara tertentu. Contohnya hubungan dengan negara-negara serantau seperti Singapura, Indonesia, Thailand dan Vietnam.

Bentuk yang kedua pula ialah hubungan multilateral iaitu hubungan dalam bentuk kumpulan dan pertubuhan. Sejak Malaysia mencapai kemerdekaan, terdapat tiga pertubuhan serantau yang telah ditubuhkan dan disertai oleh Malaysia antaranya ialah Persatuan Asia Tenggara (ASA), Gagasan Malaysia, Filipina dan Indonesia (MAPHILINDO) dan Pertubuhan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN). Malaysia juga mengambil bahagian yang aktif dalam pertubuhan antarabangsa seperti Komanwel, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan agensi-agensinya seperti Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM) dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC). Perhubungan luar juga diadakan dengan negara Asia yang lain, Amerika Latin, Afrika, Asia Barat serta negara maju (Britain dan Amerika Syarikat).

Sesebuah kerajaan perlu mengambil langkah-langkah yang dinamis dalam strategi melaksanakan perhubungan antarabangsa dengan negara-negara lain untuk memastikan negara dapat terus bersaing dalam dunia yang sedang mengalami perubahan yang pesat dari segi politik, sosial dan ekonomi.

Pengenalan kepada Sistem Kerajaan

Sistem kerajaan merangkumi institusi-institusi dan agensi-agensi yang bertanggungjawab menggubal atau melaksanakan dasar-dasar negara.

Sebagai contohnya, institusi atau agensi itu adalah seperti:
  • Parlimen
  • Kabinet
  • Majlis Raja-Raja
  • Mahkamah
  • Jabatan dan Kementerian

Sistem kerajaan hari ini boleh dibahagikan berasaskan :

a. Pembahagian kuasa kerajaan antara pusat dengan negeri

b. kewujudan atau tanpa kewujudan raja

Berasaskan pembahagian ini, terdapat pelbagai sistem kerajaan seperti:

  • Persekutuan,
  • Kesatuan konfederasi,
  • Republik
  • Beraja (Monarki).

11 March 2010

POLITIK

Definisi Politik

Ilmu kenegaraan. Politik adalah proses dan cara membuat keputusan untuk sesuatu kumpulan. Walaupun ia biasanya digunakan bagi merujuk kepada kerajaan, tingkah laku politik juga boleh didapati di korporat, akademik, agama, dan institusi lain.

Definisi Politik Secara Umum

Politik adalah proses pembentukan dan pembagian kekuasaan dalam masyarakat yang antara lain berwujud proses pembuatan keputusan, khususnya dalam negara. Politik adalah usaha yang ditempuh warganegara untuk mewujudkan kebaikan bersama (teori klasik Aristoteles). Politik adalah hal yang berkaitan dengan penyelenggaraan pemerintahan dan negara. Politik juga merupakan kegiatan yang diarahkan untuk mendapatkan dan mempertahankan kekuasaan dalam masyarakat. Politik adalah segala sesuatu tentang proses perumusan dan pelaksanaan kebijakan publik.

Konsep Politik

Feudal raja-raja Melayu.
Berkonsepkan ajaran Hindu Buddha dan Islam. Dewa raja kepada kesultanan Melayu. Daulat dan derhaka. Hukum kanun melaka dan undang-undang laut melaka bagi membantu perlaksanaan Islam di Alam Melayu.

Selepas kedatangan British.
Berlaku perubahan yang ketara dalam sistem politik dan pentadbiran Negara. British campur tangan dan perkenalkan bentuk pentadbiran British. Berlarutan sehingga sekarang.

Pengkhususan Kuasa (Pengasingan Kuasa)

Negara Malaysia mengamalkan sistem pemerintahan demokrasi berparlimen. Dalam sistem pemerintahan ini terdapat tiga buah badan utama iaitu :

1) Badan Pemerintah (Eksekutif)

2) Badan Perundangan (Legilatif)

3) Badan Kehakiman (Judisial)

Kuasa ketiga-tiga badan ini tidak bertindan dan masing-masing mempunyai peranannya yang tersendiri. Tidak ada campur tangan antara satu badan dengan badan yang lain. Bertujuan untuk memastikan keneutralan setiap badan tersebut. Setiap badan tidak boleh mempengaruhi keputusan atau tindakan yang dibuat oleh badan-badan yang lain. Konsep ini dikenali sebagai pengkhususan kuasa atau pengasingan kuasa.

Badan Perundangan

Berfungsi menggubal, meminda dan meluluskan undang-undang. Terdapat dua tahap badan perundangan:

  1. Peringkat persekutuan di parlimen
  2. Peringkat negeri di Dewan Undangan Negeri (DUN)

Perlembagaan Persekutuan mengizinkan badan pemerintah iaitu Jemaah Menteri (eksekutif) bagi menggubal, meminda dan meluluskan undang-undang atas nama Parlimen untuk dikuatkuasakan oleh menteri atau pihak berkuasa yang lain (penjawat eksekutif). Ini bermakna kuasa menggubal undang-undang, menurut Perlembagaan telah diamanah dan diwakilkan kepada badan pemerintah (eksekutif). Amalan sedemikian dinamakan undang-undang perwakilan. Keadaan yang sama berlaku pada peringkat negeri, di bawah bidang kuasa yang diberikan DUN pula menggubal undang-undang. Undang-undang inilah yang dijadikan panduan bagi pihak eksekutif di kedua-dua peringkat, persekutuan dan negeri untuk mentadbir dan menguruskan pemerintahan negara. Undang-undang yang siap digubal oleh Parlimen atau DUN tidak boleh dikuatkuasakan sehingga mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) bagi peringkat persekutuan dan Sultan atau Yang Dipertua Negeri bagi peringkat negeri.

Sistem Kerajaan Berparlimen

Parlimen memiliki kuasa untuk menggubal undang-undang. Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi yang memberi kuasa kepada Parlimen untuk menggubal Undang-undang Persekutuan dan juga negeri-negeri di dalamnya. Perlembagaan Persekutuan menyatakan dengan jelas mengenai perkara-perkara di bawah kuasa Kerajaan Persekutuan dan Parlimen untuk membuat undang-undang. Perlembagaan persekutuan juga menentukan perkara-perkara di bawah tanggungjawab Kerajaan-kerajaan Negeri dan DUN yang boleh membuat undang-undang. Perlembagaan Persekutuan mencatatkan dengan jelas perkara-perkara di mana Parlimen dan DUN secara bersama boleh menggubal undang-undang. Mengikut Perlembagaan Persekutuan, Yang Di-Pertuan Agong (YDPA) adalah Ketua Utama Negara. Baginda hanya menjalankan kuasa-kuasa baginda mengikut peruntukan yang termaktub dalam Perlembagaan. Begitu juga dengan fungsi mahkamah, walaupun ia berkuasa mentafsir perlembagaan, membatal mana-mana Undang-undang Persekutuan dan Negeri-negeri serta membuat penentuan sah atau tidak akan sesuatu tindakan Kerajaan, namun ia bukan badan tertinggi berbanding Perlembagaan Persekutuan. Namun, mahkamah mempunyai kuasa-kuasa tertentu sekiranya Parlimen dan Badan Pemerintah bertindak di luar bidang kuasa dan yang bertentangan dengan Perlembagaan. Perlembagaan Persekutuan menentukan bentuk dan tugas-tugas Badan Pemerintah Negara iaitu YDPA, Parlimen, Jemaah Menteri, Mahkamah, Pilihan Raya dan Perkhidmatan Awam. Perlembagaan Persekutuan juga menentukan berbagai-bagai prinsip seperti hak kebebasan asasi, kewarganegaraan, agama rasmi, dan bahasa rasmi serta kedudukan istimewa kepada kaum tertentu di negara ini.

Yang di-Pertuan Agong (YDPA)

Komponen utama dalam Parlimen Malaysia. Tidak menghadiri Persidangan Parlimen. Bertitah di pembukaan rasmi penggal parlimen. Berkuasa memanggil, membatal dan membubarkan parlimen. Mendapat nasihat daripada Jemaah Menteri. Ketua utama Negara Malaysia. Tidak boleh dikena dakwa dalam apa-apa jua perbicaraan dalam mana-mana mahkamah. Raja yang dipilih oleh Majlis Raja-Raja mengikut peraturan yang termaktub di dalam Jadual Ketiga Perlembagaan Persekutuan. Pengecualian jika baginda tidak cukup umur atau menolak atau tidak layak disebabkan keuzuran akal dan kesihatan. Memegang jawatan selama lima tahun. Tiga perkara yang boleh dilakukan mengikut budi bicara baginda sendiri. Melantik Perdana Menteri. Tidak mempersetujui permintaan membubarkan parlimen. Meminta supaya diadakan mesyuarat Majlis Raja-Raja mengenai keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-Raja. Pemerintah tertinggi Angkatan Tentera Persekutuan. Ketua Agama Islam di Wilayah Persekutuan, Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak. Berkuasa mengisytiharkan darurat.

Dewan Negara

Komponen kedua dalam Parlimen Malaysia. Majlis Tertinggi atau Senat. Membahaskan sesuatu rang undang-undang dengan lebih halus dan terperinci. Membincangkan perkara-perkara yang menjadi kepentingan umum.

Mengikut perlembagaan Persekutuan Perkara 45, keanggotaan Dewan Negara adalah seperti berikut:

Tertakuk kepada Fasal (4), Dewan Negara hendaklah mengandungi ahli-ahli yang dipilih dan dilantik seperti berikut :

1. Dua orang ahli bagi tiap-tiap satu negeri hendaklah dipilih mengikut Jadual Ketujuh

(a) Dua orang ahli bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, seorang ahli bagi Wilayah Persekutuan Labuan dan seorang ahli bagi Wilayah Persekutuan Putrajaya hendaklah dilantik oleh YDPA, dan

(b) 40 orang ahli hendaklah dilantik oleh YDPA

2. Ahli-ahli yang akan dilantik oleh YDPA ialah orang yang telah membuat jasa cemerlang dalam perkhidmatan awam atau telah mencapai kepujian dalam lapangan profesional, perdagangan, perusahaan, pertanian, kegiatan kebudayaan atau perkhidmatan masyarakat atau yang mewakili kaum-kaum kecil bilangannya atau yang mempunyai kebolehan mewakili kepentingan Orang Asli

3. Tertakluk kepada Peruntukan Jadual Ketujuh, tempoh jawatan seseorang ahli Dewan Negara ialah tiga tahun dan tempoh itu tidaklah tercacat oleh pembubaran parlimen

4. Parlimen boleh dengan undang-undang :

  1. Menambah bilangan ahli yang akan dipilih bagi tiap-tiap satu negeri hingga tiga orang
  2. Membuat peruntukan supaya ahli-ahli yang akan dipilih bagi tiap-tiap satu negeri dipilih dengan undi terus oleh pemilih-pemilih negeri itu
  3. Mengurangkan bilangan ahli yang dilantik atau menghapuskan ahli-ahli yang dilantik

Seseorang ahli Dewan Negara boleh berhenti daripada menjadi ahli dengan menulis surat kepada Yang Dipertua Dewan Negara. Tidak hadir dalam tiap-tiap mesyuarat Dewan Negara selama enam bulan tanpa mendapat izin Dewan Negara maka Dewan mengisytiharkan tempat ahli tersebut sebagai kosong. Jika ahli tidak hadir dalam tiga bulan selepas dipilih, maka terhentilah beliau daripada menjadi ahli. Jika berlaku kekosongan, ia hendaklah diisi mengikut syarat-syarat yang terkandung di bawah Perkara 54 Perlembagaan Persekutuan. Setiap ahli Dewan Negara akan mengangkat sumpah sebelum mengambil tempatnya di Dewan Negara. Bagi mengendalikan perjalanan persidangan atau Mesyuarat Dewan Negara, seorang Yang Dipertua atau Timbalan Yang Dipertua dipilih di kalangan ahli-ahli Dewan itu sendiri. Jika seseorang ahli Dewan Negeri telah terpilih, maka beliau hendaklah berhenti menjadi ahli Dewan Negeri. Sekiranya Yang Dipertua dan Timbalan Yang Dipertua tidak hadir dalam persidangan Dewan Negara, maka tugas Yang Dipertua bolehlah dilaksanakan oleh seorang ahli Dewan yang lain yang dipilih mengikut peraturan Dewan Negara. Dewan Negara juga mempunyai seoarang setiausaha yang dilantik oleh YDPA.

Dewan Rakyat

Komponen ketiga dalam Perlimen Malaysia. Satu majlis khas untuk rakyat menyuarakan hasrat dan pendapat serta mendapatkan pembelaan menerusi wakil-wakil mereka. Kesemua ahli Dewan Rakyat dipilih menerusi pilihan raya. Setiap ahli akan mewakili satu kawasan pilihan raya iaitu kawasan pilihan raya Dewan Rakyat.

Mengikut Perkara 46 Perlembagaan Persekutuan, keanggotaan Dewan Rakyat adalah seperti berikut:

Dewan Rakyat hendaklah mengandungi 194 orang anggota yang dipilih. Daripada bilangan itu, 182 orang anggota ialah dari negeri-negeri dalam Malaysia dan 12 orang ahli dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Kelayakan Menjadi Ahli Parlimen

Setiap warganegara yang bermastautin di Persekutuan Malaysia adalah layak menjadi ahli Dewan Rakyat, jika beliau berumur tidak kurang daripada 21 tahun, melainkan jika seseorang itu hilang kelayakan menjadi ahli menurut perlembagaan itu atau mengikut mana-mana undang-undang yang dibuat mengikut di bawah Perkara 48. Tempoh jawatan ahli Dewan Rakyat akan tamat apabila Parlimen dibubarkan, tetapi mereka boleh berhenti dengan menulis surat kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Seseorang ahli Dewan Rakyat dianggap berhenti dari menjadi ahli jika beliau hilang kelayakan mengikut Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan, seperti berikut:

Ia adalah dan telah didapati atau diisytiharkan sebagai seorang yang tidak sempurna akal. Ia seorang bankrap yang belum dilepaskan. Ia memegang sesuatu jawatan berpendapatan. Tidak menghantar apa-apa penyata perbelanjaan pilihan raya yang dikehendaki oleh undang-undang dalam masa dan mengikut cara yang dikehendaki. Ia telah disabitkan suatu kesalahan oleh sesuatu mahkamah di Persekutuan dan dihukum penjara selama tempoh tidak kurang daripada satu tahun atau denda tidak kurang RM 2000 dan ia tidak mendapat ampun.

Atau

Ia telah dengan sengaja memperoleh kewarganegaraan mana-mana negeri luar Persekutuan, atau telah dengan sengaja menggunakan hak kewarganegaraan di suatu negeri asing atau telah membuat sesuatu akuan taat setia kepada mana-mana negeri luar Persekutuan.

Persidangan Parlimen

Bersidang apabila dipanggil oleh YDPA. Tidak boleh dibiarkan enam bulan berselang antara mesyuarat akhir bagi satu penggal dengan mesyuarat pertama bagi penggal yang akan dating. Parlimen akan kekal selama lima tahun daripada tarikh mesyuaratnya yang pertama. Parlimen tidak bersidang di sepanjang penggal tetapi mengadakan mesyuarat sebanyak tiga atau empat kali dalam satu penggal.

Keistimewaan Parlimen

Sahnya apa-apa perjalanan dalam mana-mana Majlis Parlimen atau mana-mana jawatankuasanya tidak boleh dipersoalkan dalam mana-mana mahkamah. Tiada seorang pun boleh dikena dakwa dalam apa-apa jua perbicaraan dalam mana-mana mahkamah mengenai apa-apa yang dikatakan atau apa-apa undi yang diberi olehnya apabila mengambil bahagian dalam apa-apa perjalanan mana-mana Majlis Parlimen atau mana-mana jawatankuasanya. Tiada seorang pun boleh dikena dakwa dalam apa-apa perbicaraan dalam mana-mana mahkamah mengenai apa-apa jua yang disiarkan dengan atau di bawah kuasa mana-mana Majlis Parlimen.

Pilihan Raya

Ciri utama bagi sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen ialah pilihan raya bebas. Objektif: rakyat dapat menggunakan hak mereka untuk memilih corak Kerajaan yang boleh memerintah dengan baik dan adil. Parti politik yang paling banyak mendapat kepercayaan rakyat berhak menggunakan mandat selama lima tahun sehingga pilihan raya yang baru diadakan.

Suruhanjaya Pilihan Raya

Pengerusi dan ahli-ahli Suruhanjaya ini dilantik oleh YDPA selepas perundingan dibuat dengan Majlis Raja-Raja.

Tugas : menjalankan pilihan raya bagi Dewan Rakyat dan Dewan Negeri, menyiapkan dan menyemak daftar pengundi, menjalankan pilihan raya bagi Kerajaan Tempatan, menyemak dan mengubah kawasan pilihan raya dan membuat peraturan tertentu bagi melaksanakan tugas-tugas tersebut. Seseorang pengerusi dan ahli-ahli suruhanjaya tidak boleh dilucutkan jawatannya kecuali setelah mendapat pandangan dan syor-syor daripada Jemaah Hakim.

Kelayakan Pengundi

Setiap warganegara Malaysia yang telah mencapai umur 21 tahun pada tarikh kelayakan. Bermastautin dalam sesuatu bahagian pilihan raya pada tarikh (kelayakan) itu atau jika tidak bermastautin, ia dianggap sebagai pengundi tidak hadir. ‘Tarikh kelayakan’ bermaksud tarikh yang menurutnya daftar-daftar pemilih atau pengundi telah disediakan atau disemak. ‘Pengundi tidak hadir’ mengenai sesuatu bahagian pilihan raya, ertinya mana-mana warganegara yang didaftarkan sebagai seorang pengundi tak hadir bagi bahagian pilihan raya itu di bawah peruntukan mana-mana undang-undang berhubung dengan pilihan raya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...