Pembaca Setia

21 March 2010

Pengkelasan Sistem Kerajaan – Kekuatan Dan Kelemahan

Pengenalan

Kerajaan merujuk kepada institusi yang mengurus dan mentadbir hal ehwal negaranya. Sistem kerajaan pula merujuk kepada institusi-institusi pemerintahan sesebuah kerajaan yang bertanggungjawab menggubal dan melaksanakan dasar-dasar kerajaan.

Sistem kerajaan boleh dikelaskan kepada beberapa jenis dan masing- masing mempunyai kekuatan dan kelemahan yang tersendiri. Antara sistem kerajaan adalah Republik, Monarki, Demokratik, Totalitarian dan Autokrasi.

Sistem Kerajaan Republik

Dalam sesebuah negara Republik, kuasa pemerintahan terletak pada seseorang individu atau sesebuah parti politik. Ketua negaranya ialah seorang presiden atau pengerusi parti. Kelebihan sistem kerajaan ini ialah, presidennya dipilih secara langsung oleh rakyat. Pengundi di negara ini bukan memilih parti yang memerintah tetapi memilih bakal presiden mereka. Di negara China pula, pucuk pimpinan terletak di tangan pengerusi parti politik yang memerintah. Walaubagaimanapun, sistem kerajaan Republik tidak mempunyai raja. Contoh kerajaan yang mengamalkan sistem kerajaan Republik ialah Amerika Syarikat, Filipina, Perancis, India, Singapura dan Portugal.

Sistem Kerajaan Monarki

Di bawah sistem kerajaan Monarki, kuasa sepenuhnya terletak pada seseorang iaitu raja atau ratu. Pada zaman dahulu, raja mempunyai kuasa mutlak dalam pemerintahan negaranya iaitu dikenali sebagai sistem kerajaan Monarki. Kekurangan sistem kerajaan Monarki ialah, rakyat tidak boleh memilih pemerintah yang mereka kehendaki. Hal ini demikian kerana di bawah sistem pemerintahan ini, tiada parti politik atau pilihan raya umum diadakan. Pentadbiran hanya dijalankan oleh raja dan keluarga atau kerabatnya. Tetapi, kini negara-negara yang mengamalkan sistem kerajaan Monarki telah berubah dan kuasa raja dihadkan oleh perlembangaan dan parlimen. Warisan takhta kerajaan ini berdasarkan keturunan dan ahli-ahli kerabat yang membantu dalam pentadbiran. Contoh negara Monarki yang masih ada ialah Arab Saudi dan Brunei Darussalam.

Sistem Kerajaan Demokratik

Berbeza dengan kerajaan Monarki, dalam kerajaan Demokratik rakyat mempunyai suara mutlak dalam menentukan pemerintahan melalui pilihan raya umum. Kelebihan sistem kerajaan ini dapat dilihat melalui konsepnya yang menekankan “kerajaan rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat”.

Antara ciri-ciri kerajaan Demokratik ialah rakyat menikmati kebebasan persamaan dan hak-hak asasi, sistem pilihan raya dijalankan dari semasa ke semasa, badan perundangan terdiri daripada wakil-wakil yang dipilih oleh rakyat, warganegara yang berumur 21 tahun ke atas berhak mengundi dan bertanding dalam pilihan raya, kemenangan pilihan raya berdasarkan jumlah undi terbanyak dan parti politik atau individu yang memperoleh undi majoriti akan memerintah negara tersebut.

Selain ciri kerajaan Demokrasi, Demokrasi liberal merujuk kepada rakyat yang mempunyai lebih banyak kuasa menyuarakan pendapat dan tentangan mereka terhadap dasar-dasar dan tindakan-tindakan kerajaan. Dalam sistem ini, akan wujud golongan pembangkang yang akan sentiasa mengkritik pihak kerajaan. Kebaikannya, kerajaan akan lebih peka dan teliti dalam melaksanakan apa-apa dasar manakala keburukan akan wujud sekiranya pihak pembangkang dan pihak kerajaan bertelagah sehingga gagal mencapai satu haluan yang dipersetujui.

Terdapat negara-negara yang mengamalkan Demokrasi yang berbeza iaitu Demokrasi Berparlimen dan Demokrasi Perpresiden. Dalam sistem Demokrasi berparlimen, parti politik yang mendapat kerusi majority di Dewan Rakyat akan mengetuai pentadbiran negara. Bagi sistem Demokrasi berpresiden pula, rakyat memlih presiden yang akan menjadi ketua eksekutif negara. Contoh negara yang mengamalkan sistem kerajaan Demokratik ialah Malaysia, Singapura, Kanada, Amerika Syarikat, Britain dan Indonesia.

Sistem Kerajaan Totalitarian

Sistem pemerintahan Totalitarian hanya membenarkan kewujudan satu parti sahaja. Kelemahan sistem ini ialah, rakyatnya dipaksa untuk mentaati pemerintah. Selain daripada itu, sistem komunikasi dan ketenteraan dikuasai oleh pemerintah. Hal yang demikian telah menyekat hak kebebasan rakyat dalam menjalani kehidupan seharian. Contoh kerajaan Totalitarian yang pernah wujud ialah Jerman semasa zaman pemerintahan Adolf Hitler dan pemerintahan Musollini di Itali serta Stalin di Rusia.

Sistem Kerajaan Autokrasi

Kerajaan ini merujuk kepada pemerintahan oleh individu atau badan politik yang mempunyai kuasa sepenuhnya dalam pemerintahan. Bentuk kerajaan ini mempunyai persaingan politik yang terhad kerana kuasa dikawal oleh golongan elit tertentu terutama tentera. Penduduk dikawal dan dipaksa untuk mematuhi dan mentaati kerajaan. Kebebasan awam dan kehakiman terhad. Contoh sistem pemerintahan autokrasi wujud pada masa darurat dan dalam pemerintahan komunis.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...