Pembaca Setia

21 September 2010

Guru bahasa yang baik : Pengenalan

Bahasa merupakan alat perhubungan yang penting dalam kehidupan manusia. Melalui bahasa seseorang itu dapat berkomunikasi dengan orang lain untuk menyampaikan kehendak, perasaan, pendapat, pengalaman, buah fikiran, pengetahuan, mendapatkan informasi, menambahkan ilmu pengetahuan, memahami orang lain dan sebagainya (Raminah Hj. Sabran, 1993). Pembelajaran bahasa secara formalnya berlaku di sekolah. Oleh itu, guru-guru bahasa Melayu memainkan peranan yang utama bagi memastikan murid-murid di sekolah dapat mempelajari bahasa Melayu dengan sebaik-baiknya.

Kepentingan terhadap penguasaan bahasa lebih ketara dalam bidang pendidikan kerana bahasa menjadi medium utama dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Bahasa digunakan dalam interaksi lisan antara guru dengan murid. Hal ini jelas dinyatakan dalam Sukatan Pelajaran Bahasa Malaysia (Melayu) sekolah rendah dan juga sekolah menengah. Banyak aktiviti dan kemahiran yang menekankan aspek-aspek kemahiran bahasa dalam sukatan pelajaran. Perkara ini diberi tumpuan utama bertujuan untuk mencapai objektif pengajaran bahasa Melayu iaitu membolehkan murid-murid mendengar, bertutur, membaca dan menulis.

Oleh itu, guru bahasa Melayu memainkan peranan yang penting dalam menentukan kejayaan murid-murid mereka dalam penguasaan bahasa Melayu. Ab. Rahman Ab. Rashid, Yap Kim Fatt dan Ab. Rahim Selamat (1997) menggariskan empat peranan guru bahasa Melayu iaitu sebagai perancang pengajaran dan pembelajaran; penggerak dan pendorong pengajaran dan pembelajaran; pembimbing murid; dan pemupuk semangat dan pembentuk sahsiah murid.

Seorang guru bahasa Melayu yang baik adalah guru yang mampu memilih kaedah, pendekatan dan teknik pengajaran yang sesuai dengan sesebuah aktiviti pengajaran dan pembelajaran bahasa.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...