Pembaca Setia

29 September 2011

Pengujian dan Pentaksiran

PENGUJIAN

Menurut Cronbach (1979), ujian ialah satu prosedur yang sistematik untuk memerhati perlakuan atau tingkah laku seseorang individu dan menjelaskannya dengan bantuan skala bernombor atau satu sistem yang berkategori.

Abdul Aziz Abdul Talib (1993) pula mendefinisikan pengujian sebagai proses atau situasi sesuatu kemahiran bahasa itu diuji. Sebagai contoh, kita melarang murid bercakap atau membuat bising apabila pengujian kemahiran mendengar sedang dijalankan.Selain itu, boleh juga dikatakan bahawa dalam pengujian bahasa teknik Temubual dan Bercakap Menurut Tajuk adalah dua contoh situasi bagi pengujian bertutur.  Dengan kata lain, pengujian merujuk pada proses atau situasi sesuatu alat ujian yang sedang ditadbirkan oleh guru terhadap pelajar.

Dalam buku pengujian dan penilaian Bahasa Malaysia, Milagros Ibe (1981) menegaskan bahawa ujian adalah satu cara untuk mendapatkan contoh perlakuan yang diperlihatkan oleh murid di dalam keadaan terkawal atau yang ditentukan. Maklumat yang diperolehi daripadanya akan dijadikan dasar untuk membuat penilaian atau pengadilan.

Kesimpulannya, pengujian merujuk kepada satu teknik untuk mendapatkan maklumat tentang perubahan tingkah laku seseorang individu yang  terdiri daripada satu set soalan atau tugasan yang berkehendakkan pelajar memberi satu set tindak balas / respon. Calon ujian mungkin dikehendaki menyelesaikan suatu masalah matematik, melukis satu gambar rajah, menyusun radas, mentakrif sesuatu perkataan dan sebagainya.

Ujian juga merupakan alat pengukuran yang hanya membenarkan kita mengukur pencapaian pelajar (dalam bentuk markah) sahaja.


PENTAKSIRAN

Pentaksiran merupakan satu episod dalam proses pembelajaran yang merangkumi aktiviti menghurai, mengumpul,merekod, memberi skor dan menginterpretasi maklumat tentang pembelajaran seorang pelajar bagi sesuatu tujuan. Pentaksiran boleh didefinisikan sebagai satu proses mendapatkan maklumat dan seterusnya melakukan penilaian terhadap produk sesuatu proses pendidikan. Pentaksiran di jalankan bagi tujuan untuk mendapatkan gambaran tentang prestasi seseorang dalam pembelajaran, menilai aktiviti yang dijalankan semasa pengajaran dan pembelajaran,  mendapatkan maklumat secara berterusan serta memperbaiki proses pengajaran dan pembelajaran.

Pengukuran pendidikan merupakan suatu proses yang menentukan kuantiti atau takat pembelajaran pelajar dan keberkesanan pengajaran guru. Alat pengukuran yang digunakan guru mungkin terdiri daripada ujian, soal selidik, senarai semak, inventori, atau sesuatu skala. Pengukuran adalah terhad kepada huraian kuantitatif dan tidak termasuk huraian kualitatif atau membuat keputusan.

Kesimpulannya, pentaksiran merupakan pengumpulan maklumat-maklumat secara sistematik dan secara kuantitatif bagi menentukan tahap pembelajaran pelajar dengan menggunakan alat pengukuran yang sesuai.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...